Tuesday, August 01, 2006

Renung-renungkan...

Berfesyen biar menepati syariat

Oleh: ZUNAIDAH ZAINON


DR. FARIZA MD. SHAM.

GELOMBANG fesyen yang sentiasa bergerak pantas turut memberi impak kepada gaya berpakaian wanita bertudung hingga pada suatu peringkat ia dilihat bertentangan dengan hukum syariat. Peralihan daripada pakaian tradisi seperti baju kurung dan kebaya kepada pilihan yang lebih moden dan bergaya semakin menghakis ciri-ciri menutup aurat seperti mana yang digariskan dalam Islam.

Perspektif Islam memandang bergaya mengikut trend semasa bukanlah satu perkara yang melanggar undang-undang syariat. Asalkan ia menepati garis panduan yang telah ditetapkan agama.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah s.w.t., Katakanlah kepada wanita-wanita beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudungnya hingga ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya. (an-Nur: 31)

Menurut Pensyarah di Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Fariza Md. Sham, Islam tidak pernah melarang umatnya bergaya dan mengikuti aliran fesyen selagi ia bertepatan dengan hukum agama.

Islam menggariskan wanita mesti menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Pakaian pula hendaklah daripada jenis kain yang tebal, tidak nipis dan jarang supaya tidak menampakkan susuk tubuh. Selain itu, satu perkara yang kena dititikberatkan ialah mereka perlu berpakaian longgar dan tidak terlalu ketat.

Daripada Muhammad bin Usamah bin Yazid daripada bapanya, katanya: “Rasulullah s.a.w. memberikan kepadaku qibti halus yang tebal yang dihadiahkan oleh Dihyah al-Kalbi, maka aku pakaikan kepada isteriku, lalu Rasulullah menegurku! Apakah kamu tidak mahu memakai qibti? Jawabku: ‘Aku telah pakaikan kepada isteriku.’ Rasulullah s.a.w. bersabda: Suruh ia (isterimu) memakainya di bawahnya ada baju (lain) kerana aku takut ia akan menampakkan bentuk badannya (kerana ia jarang).”

Menurut Fariza, pakaian bukan untuk perhiasan diri. Maknanya jangan keterlaluan dan nampak mewah. Kalau bertudung biar nampak sederhana kerana dikhuatiri lari daripada konsep menutup aurat. Islam amat mementingkan penampilan yang bersih dan kemas. “Jangan terlalu selekeh dan menyukarkan pergerakan, contohnya, baju dan tudung yang terlalu besar. Kita boleh pakai jean, kemeja T atau blaus tetapi memenuhi ketiga-tiga syarat di atas,” tegas beliau. Katanya, al-Quran tidak menetapkan pakaian tertentu asalkan tidak melanggar hukum agama.

Pengaruh pakaian ketat di kalangan wanita dipercayai bermula daripada aliran fesyen di London yang mempunyai gedung-gedung fesyen terkemuka. Ia semakin berkembang ke negara-negara lain seluruh dunia. Berbanding di London, Paris yang dikenali sebagai kota fesyen mempunyai nada fesyen yang jauh berbeza. Anak-anak muda di kota itu menggayakan blaus longgar dan skirt labuh yang dipadankan dengan jaket yang membuatkan penampilan mereka tampak elegan.

Namun, gaya berpakaian anak-anak muda di Malaysia amat menyakitkan mata dengan pengaruh fesyen yang dibawa dari Hong Kong.

Apabila membicarakan tentang menutup aurat, ia bukan sahaja berkait dengan wanita. Lelaki juga harus mengambil berat mengenai perkara ini. Walaupun aurat lelaki dari pusat hingga ke lutut, ia tidak bermakna lelaki muslim boleh berpakaian sesuka hati seperti berseluar pendek dan tidak berbaju. Mereka harus berpakaian sopan agar menepati budaya orang Islam.

Dalam hal menutup aurat, suami tidak boleh membuat permintaan agar isterinya bertudung litup sewaktu bersama-sama dengan bapa kandung dan adik-beradik lelaki kandung kerana ia melampaui batas agama. Ini menunjukkan bahawa suami tidak memahami hukum-hukum Islam dan melanggar prinsip kerana Islam bukanlah agama yang keterlaluan dan memaksa.

“Memang ada sesetengah pasangan, isterinya berpakaian jubah, bertudung dan memakai sarung kaki tetapi pakaian suaminya jauh berbeza daripada penampilan isteri. Sebab itu, menutup aurat bukan sahaja perlu pada wanita tetapi lelaki juga harus menjaga adab berpakaian,” ujar Fariza.

Beliau berpendapat, peningkatan kes-kes rogol di negara ini mempunyai kaitan dengan gejala menonton filem-filem lucah. Ada lelaki yang tidak boleh melepaskan nafsu kepada pelakon filem lucah tersebut menjadikan wanita lain sebagai mangsa. Dalam kes ini, Fariza percaya, sekiranya wanita menjaga aurat dan filem-filem lucah disekat, kes-kes rogol boleh dibendung.

Mengenai trend pakaian artis wanita Islam yang kini suka kepada fesyen berkemban, beliau memberitahu, ia bertentangan dengan era Islam Hadhari yang diuar-uarkan oleh kerajaan.

Bagaimanapun, trend berkemban pada masa sekarang tidak boleh disamakan dengan era filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1950-an dan 1960-an kerana ketika itu kesedaran menutup aurat masih belum berkembang dengan baik di Malaysia.

“Soal fesyen merupakan salah satu cabaran bagi pendakwah kerana isu ini agak sukar untuk diperkatakan kerana ia dipengaruhi oleh banyak faktor. Antaranya, yang paling ketara ialah aliran fesyen dari Hollywood yang semakin menular di kalangan artis tempatan. Tidak kurang juga ada sesetengah artis muslim yang ditaja pakaian mereka. Apa pun, mereka mempunyai hak untuk memilih yang terbaik,” katanya.

Jika diukur antara dulu dan sekarang, majlis-majlis anugerah hiburan dan acara karpet merah semakin mewarnai industri hiburan tanah air yang menyebabkan permintaan terhadap fesyen semakin meningkat.

Ini ditambah dengan kemunculan banyak stesen televisyen swasta di negara ini. Fariza mencadangkan agar garis panduan berpakaian yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dikuatkuasakan semula dan semua stesen televisyen perlu mematuhi peraturan tersebut.

“Kita sudah ada banyak peraturan tetapi perlaksanaannya masih kurang. Jika senario sedemikian berlanjutan, ia akan bertentangan dengan apa yang hendak dilakukan oleh kerajaan pada era Islam Hadhari terutama aspek pembangunan modal insan yang memerlukan ciri-ciri peribadi unggul dan akhlak mulia,” tegas beliau.

No comments: